Thursday, July 26, 2012

PENILAIAN & TANGGAPAN

Assalamualaikum,

Kalaulah manusia boleh mengganti hatinya dengan sewenang-wenangnya, pasti kaum hawalah yang paling ramai melakukannya... Dek kerana kerapuhan dan sifat lembut yang ada dalam diri setiap wanita, mereka sanggup untuk disakiti berkali-kali. Sungguh mata pedang itu tajam, tapi tajam lagi tutur penilaian yang salah orang yang kita sayang terhadap diri kita.

Pelbagai cara pasangan kita lalukan untuk menilai dan melihat kesetiaan dan kesanggupan kita untuk bersamanya. Tapi sering juga penilaan yang dibuat itu sama sekali tidak mengambarkan maksud sebenar,  kerana kita sebenarnya tiada hujah untuk memahamkan mereka. Kerana anggapan tersebut merupakan persepsi peribadi mereka sendiri dan bukan majoriti. Memang sedih...

Adalah tidak adil untuk menilai pasangan sebagai seorang yang tidak sanggup bersusah bersama anda, hanya kerana sedikit keengganan yang berkait dengan kewangan tanpa anda mengetahui sebab keengannya. Sesungguhnya dia tidak mahu anda tahu kerana dia ada perancangan untuk dia dan anda... Malangnya dia tiada keupayaan untuk menyampaikan dan memahamkan anda...

Sungguh tiada seorang suami pun tahu apa yang sanggup dikorbankan oleh seorang isteri untuk seorang yang yang bernama suami. Sungguh dia tidak mampu untuk berkorban kewangan, tapi dia tidak takut langsung untuk berkorban hatta nyawanya sendiri jika diminta. Dia tidak takut untuk itu... 

Berapa ramai bapa dan suami yang sanggup membersihkan najis anak atau isteri yang uzur..? Ramai.... Tapi masih ada segelintir yang tak sanggup untuk korbankan perasaan jijik mereka yang kerdil itu... Sama juga seperti situasi sebentar tadikan?

Ya... Jika kita sering menganggap penilaian orang terhadap selalu silap, jangan ingat penilaian kita terhadap orang lain juga benar dan tepat. Kita dibesarkan dalam keadaan dan desakan hidup yang berbeza. Jadi persepsi dan penerimaan kita terhadap sesuatu perkara juga tentu berbeza... Fahamilah terlebih dahulu, baru kita mampu untuk melihat sesuatu di sebaliknya...

Ini adalah lagi satu kisah sedih yang memang berlaku dan saya yakin, banyak lagi kisah sedih yang berlaku di sekeliling kita. Apa juga keadaannya, ingatlah, ianya adalah ujian. Ia tidak akan menjadikan anda semakin lemah, sebaliknya semakin kuat untuk berhadapan dengan kehidupan. Belajar untuk menerima dan memperbaiki diri. Sungguh manusia itu tiada yang sempurna melainkan Allah s.w.t sahaja. Harus diingat juga, dugaan dan ujian adalah tanda Allah sayang kepada kita. Dia berikan ujian supaya kita tidak hanyut dan khayal dalam setiap pemberiannya...

Syukur dengan pemberian yang Allah berikan dan jangan sesekali lalai dan tengelam dalam nikmat yang kita rasa itu. Saya sering 'terperasan' saya sering 'dipukul-pukul sayang' olehNya setiap kali saya terlalu asyik dengan nikmat yang diberi...! Subhanallah... Beristigfar panjang bila saya kenang dan kaji semula... Saya manusia yang sangat lemah. Sangat-sangat lemah...

Semoga diri ini sentiasa diingati olehNya... Saya berharap agar cinta saya terhadapNya sentiasa mekar sebagaimana cintanya saya terhadap Rasulullah s.a.w, dan saya tidak mahu sekali-kali terlepas dari 'dakapanNya'.... Sesungguhnya itu adalah cinta yang paling abadi...

No comments:

Post a Comment