Wednesday, January 12, 2011

KITA MERANCANG TUHAN MENENTUKAN

Salam...

Tertarik dengan tulisan di artofthoughts.wordpress.com. Wan Mohd Firdaus merupakan seorang krew iluvislam.com (ketua event team Malaysia). Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Genetik) dari UKM. Dalam satu artikel yang ditulis yang bertajuk "Apa yang tinggal untuk kita" ada 3 perkara utama yang tidak akan terputus selepas kematian seorang anak Adam:

1. Sedekah jariahnya
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Anak soleh yang mendoakannya

-HR Muslim

Walaupun tidak 'millionaire' rasanya diri ini tidak pernah membiarkan atau tergamak membiarkan insan lain berada dalam kesempitan hidup. Selagi termampu aku akan berusaha sedaya mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan balasan dari mereka. Kehidupan yang Allah jadikan sangat adil. 'What you give, you will get it back', jadi berbuat baiklah sesama manusia. Bukan bertujuan untuk mengangkat diri sendiri, atau berusaha untuk meninggikan darjat diri di mata insan lain. Sesungguhnya sikap membangga diri (walaupun untuk menaikkan semangat diri sendiri) tidak pernah wujud dalam diriku. Apa yang terlintas semuanya hasil dorongan dari Allah s.w.t. Sikap riak paling ditakuti, takut apa yang dibuat tidak mendapat keberkatan dan keredhaan Allah. Ye lah, dari kecil dididik dengan keperluan yang sekadarnya, bila dah besar memang tak pandai nak meminta-meminta. Jadi bila dah bekerja niat untuk membantu keluarga terutamanya adek-adek sangat tebal. Mudah-mudahan bantuan yang tidak seberapa itu mampu untuk dibuat bekal untuk berjumpa cinta yang Agung.

Ilmu yang bermanfaat tidak hanya terbatas kepada ilmu yang kita dapat dari insitusi pendidikan sahaja. Ilmu Allah sangat luas, seluas kejadian alam semesta ini. Walaupun tidak ditakdirkan sebagai seorang pendidik namun aku tidak pernah lokek untuk berkongsi pengetahuan yang ada. Tidak juga bijaksana dalam segala bidang tapi cukuplah untuk berfikir dan bertindak bijak untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Dan selagi ilmu itu masih diamalkan selagi itulah pahalanya sampai kepada si mati... Insyallah...

Anak yang soleh... Insyallah... Amin... Sejak Kauthar dilahirkan setiap hari sebagai seorang ibu, aku sentiasa berdoa agar Allah memeliharanya daripada ganguan syaitan, hasad dengki manusia. Aku sentiasa memohon kepada Allah agar Kauthar boleh dan mampu untuk memelihara iman, akhlak dan takwanya hanya pada jalan yang diredhai Allah s.w.t. Sebagai seorang ibu aku juga mendoakan agar Kauthar akan dijodohkan dengan seorang lelaki yang mampu untuk menjaga dan menyayanginya dengan sepenuh hati dan tidak akan menyakitinya samada dari aspek emosi mahupun fizikal. Insyallah dia akan menjadi anak yang solehah kerana dia sangat matang walaupun baru berusia 4 tahun (2011). Mama proud of you kakak!!! Takkan mama biarkan kakak membesar dengan sia-sia. Hidup mati mama untuk kakak. Itu janji mama...

Ketiga-tiga peluang ini terbuka seluas-luasnya di depan mata. Insyallah jika ditakdirkan Allah s.w.t aku meninggal hari ini semua peluang ini dapat dinikmati. Namun seperti kata-kata yang dipetik oleh Wan Mohd Firdaus...

"Cara hidup kita di dunia akan menentukan bagaimana cara hidup kita di alam barzakh nanti. Cara hidup kita di alam barzakh akan menentukan bagaimana cara hidup kita di padang mahsyar nanti. Cara hidup kita di padang mahsyar nanti akan menentukan sama ada kita ke syurga ataupun ke neraka. Dan segalanya bermula dari bagaimana kita menentukan cara hidup kita di dunia selagi hayat masih ada."

Kita tidak akan tahu di manakah kedudukan kita nanti. Apa yang penting kita harus sedar bahawa kehidupan ini adalah sementara sahaja. Kita perlukan bekalan untuk kehidupan yang kekal itu. Hidup ini merupakan pengkalan untuk kita megumpulkan bekalan yang berkualiti untuk kita bawa pulang bersama jasad yang bakal hancur dimamah bumi. Jadi kita perlu sedar akan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Ya, kehidupan memerlukan sumber untuk memastikan ia terus berlangsung, tapi jangan kita hanyut dengan godaan syaitan yang telah berjanji untuk menyesatkan umat manusia.

Sama seperti kisah seorang Petani tua dan cucunya yang diceritakan di laman wordpress.com oleh Wan Mohd Firdaus:

Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk. Suatu hari Amad bertanya, “Atuk, Amad cuba untuk baca Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekalipun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup Quran. Apa ya kebaikan baca Quran, Atuk?”

Si Atuk menutup Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, “Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk.”

mad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat dari rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi. Atuk memerhatikan gelagat Amad, dari jauh Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, “Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!”

Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad bilang terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu Amad mencapai baldi.

“Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul. Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu.” Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat bakul itu bocor.

“Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong,” kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.

Betulkah tidak berguna?

“Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu.” Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara – bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.

“Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam”. Amad tersenyum lebar, penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.

Sama seperti hati kita, jika terus membiarkan titik hitam itu tanpa dibersihkan lama kelamaan ia akan terus mengelapkan hati kita dari menerima hidayah Allah...

No comments:

Post a Comment