Friday, June 3, 2011

5th WEDDING ANNIVERSARY

Alhamdulillah... Syukur ke hadrat Allah s.w.t pada hari ini 3 Jun 2011 (3 Jun 2006) genap 5 tahun usia perkahwinan saya. Pelbagai ujian dan dugaan yang telah ditempuhi sebelum dan selepas perkahwinan... Dugaan yang paling mencabar sudah tentu selepas perkahwinan, agar lebih tepat lagi selepas 4 tahun usia perkahwinan saya...

Sesungguhnya ujian Allah sangat mematangkan saya. Terus terang saya akui, hati ini masih lagi terluka... Tapi seteruk mana pun ujian Allah, hidup mesti diteruskan... Biar apa jua tindakan dan perbuatan manusai pada saya, saya tetap yakin dengan ketentuan Allah. Dia yang membenarkan sesuatu perkara itu terjadi, maka dialah yang berhak menentukan untung nasib kita. Sebagai hamba Allah saya tak akan berhenti berdoa kepadaNya agar hati saya tetap pada satu-satunya lelaki yang saya telah kahwini 5 tahun yang lalu.

Saya juga yakin selagi kita taat pada perintah Allah, menjaga hubungan dengan Allah selagi itu Allah akan melindungi dan memelihara kita, bukan sahaja dari aspek fizikal malah kekuatan jiwa... Dan itu sangat-sangat saya akui... Jiwa insan akan menjadi lebih kuat dan kental bila darjah amalan dan ibadat ditingkatkan. Ketenangan itu akan datang dengan sendirinya. Sehingga ke suatu tahap, apabila perkara yang sepatutnya menjadi kemarahan sebelum ini saya mampu membiarkannya berlalu bagaikan angin, kerana saya sudah terlalu penat untuk mempamirkan emosi pada manusia yang tidak tau untuk menghargai pengorbanan dan kesetiaan saya selama ini. Pada saat itu akan terdengan bisikan, 'biarkan ia pergi, Allah ada bersamamu dan ia akan kekal selamanya..."

Manusia akan mati, tapi Allah akan kekal bersama-sama kita ke mana jua kita berada... Dan itu satu keyakinan yang telah sekian lama tertanam di dalam diri cuma pergantungannya sangat kurang sebelum ini.

Keindahan menunaikan ibadah Umrah 30 Mei - 11 Jun 2011 masih lagi segar dalam ingatan... Satu persatu permintaan di rumah Allah termakbul... Alhamdulillah... Keindahan perasaan berdoa di Masjidil Haram, di hadapan Multazam sungguh berbeza...! Saya yakin Allah akan kabulkan permintaan saya, apa yang perlu saya lakukan adalah bersabar, kerana hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk diri saya.

Alhamdulillah... Kerisauan saya beransur hilang dengan keyakinan saya yang semakin meningkat... Walau apapun dugaan yang Allah janjikan untuk saya selepas ini, saya yakin itu yang terbaik untuk saya. Zikir, tahmid dan amalan solat-solat sunat masih menjadi amalan saya sehingga ke hari ini... Alhamdulillah ia banyak membantu membina kekuatan jiwa... Syukur ya Allah...

Sungguhpun kekuatan jiwa semakin kuat namun, beberapa ketika saya gagal untuk mengawal emosi dan perasaan amarah itu... Subhanallah... Saya juga manusia. Bila tersedar saya beristighfar kembali mengigat tuhan, ini ujian tuhan untuk saya... Alhamdulillah...

Hadiah??? Saya tidak mengimpikan sebuah hadiah yang mahal. Tidak saya mengimpikan kemewahan yang berganda. Cukuplah rasa bahagia, tenang dan syukur dengan nikmat Allah... Pernah seorang insan berkata kepada saya... "Memang wang ringgit bukan segala-galanya, tapi tanpa wang manusia tidak berguna..." Terus-terang ada kebenaran disebalik kata-kata tersebut. Tetapi berapa banyak rumahtangga yang runtuh akibat sifat tamak manusia yang mengejar kemewahan berbanding keredhaan Allah di dalam rumahtangga. Berapa ramai tokoh dan cedekia yang lahir dari kesusahan hidup, dan ketenangan jiwa... Jangan kita menjadikan harta benda sebagai ukuran bagi sebuah kebahagian dan ketenangan jiwa...

Kita sering melihat kesusahan itu sebagai satu penghalang untuk merasa tenang dan mengecapi kebahagian. Kita jarang melihat dari aspek positif nilai hidup yang kita kecapi. Seringkali manusia lalai dengan tuntutan agama apabila mereka senang dan hidup mewah. Tetapi cuba kita lihat, apabila kita ditimpa musibah, terus kita mengigat tuhan, terus kita sujud dan memohon pertolongannya... Syukur kita masih diberi peluang untuk mendapat hidayah Allah... Kasihan pada mereka yang walau ditimpa ujian kemewahan/kesusahan masih lagi tidak mampu untuk berganjak dari rasa ego mereka...!

Dalam kehidupan sehari-hari, sukar untuk kita membuatkan orang yang paling kita sayang memahami diri kita. Saya juga menghadapi masalah ini. Saya sukar untuk memahami pasangan dan pasangan sukar untuk memahami saya atau tidak cuba untuk memahami... Kaum hawa lebih mengikut emosi apabila berkata-kata berbanding kaum lelaki. Tetapi kaum adam sering melihat perkara in sebagai suatu kelemahan dan kebodohan kaum hawa. Sekalipun kesat bahasanya, jauh disudut hati, kaum hawa sendiri terguris dengan setiap perkataan yang dilafazkan...

Sehebat mana pun ujian yang Allah turunkan kepada kita, ingatlah... Itu tandanya Allah masih sayangkan kita... Jika tidak masakan dia memberikan kita ruang dan peluang untuk memperbaiki diri... Terpulang kepada kita untuk menggunakan peluang yang ada. Jangan sesekali riak dengan peluang yang datang... Jika anda ingin berubah, maka berubahlah dengan sepenuh hati, bukan sedikit-demi sedikit... Sebab jika Allah nak tarik nyawa kita, bukan sedikit-sedikit juga...

Wallahualam...

No comments:

Post a Comment